Jumaat, 12 September 2008

Tuhan Ku!


"Ya Allah, Engkau kenalkan Bahawa Engkau adalah Tuhan, Aku bangga.
Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, aku sembah Engkau selalu tidak jemu-jemu.
Janganlah masukkan ke dalam hatiku perasaan jemu menyembahmu.

Ya Allah, Aku redha Engkau adalah Tuhanku,
Jangan Engkau tukar redhaku selain untukMu,
Aku harap Engkau juga redha denganku,
Redha-meredhailah kita berdua hingga bertemu.

Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada bertuhankan selainMu, Engkau sudah cukup bagiku sebagai Tuhan memilikimu aku rada bahagia.

Ya Allah, kerana kelemahanku, aku tidak lagi mencintaiMu,
Tapi tidak bermakna aku membenciMu,
walaupun bagitu jangan pula Engkau tidak mencintai Aku.
Aku cuba mencintaimu Tuhan, tapi belum menjadi kenyataan lagi, dengan rahmatMu Tuhan,
Anugerahkanlah rasa cintaku kepadaMu dan cintaMu kepadaKu,
Ku harap kita cinta mencintai,
kita berdua cinta mencintai biarlah kekal abadi,
wahai Tuhan".
Share:

Disaat - Saat kematian Menjelang


Telah menjadi ketentuan, setiap yang bernafas dan bernyawa pasti akan mati. Cuma masa dan waktu sahaja kita tidak tahu lagi. Namun terdapat beberapa kaedah yang diajar oleh Baginda Rasulullah untuk memperincikan saat-saat kematian.


100 hari sebelum hari mati. Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

40 hari sebelum hari mati Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

7 hari Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.

3 hari Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

1 hari Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya. Tanda akhir Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk dibahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik kebahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Share:

Jiwa yang tenang


Allah bertanya kepada Rasulullah dalam Al-Qur'an dan tidak memberi kesempatan kepada Nabi untuk menjawab sendiri tetapi Allah membantu menjawabnya, "Katakanlah! siapa yang punya dilangit dan bumi ? Katakanlah milik Allah. Dia telah menetapkan Dirinya akan memberi rahmat." (Al-An'am 12). Bila ayat ini kita fahami dengan sungguh-sungguh, maka jiwa kita akan tenang.

Kita harus yakin bahwa Allah akan memberi kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan akan menahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya pula. Mengapa Anda gelisah, cemas dan takut sedangkan Allah telah mewajibkan sifat memberi kepada Diri-Nya untuk makhluk -Nya "Tiada suatu yang melata dibumi, melainkan atas Allah rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat menyimpannya semua tertulis dalam kitab yang nayat (Lauh Mahfuzh)." (QS. Hud 11:6).

Seekor semut hitam ketika hujan lebat Allah SWT membantukan mendapatkan rezekinya. Mengapa Anda cemas dan gelisah menghadapi hari esok ? Anda tidak sendiri. Saat Anda sendiri yang kedua Allah, saat berdua yang ketiga Allah, Allah berserta kita, Allah tidak tidur, tidak lupa. Kalau kepada orang kafir Allah masih memberi rezeki dan kepada orang yang bersalah Allah lindungi, apalagi kepada orang yang beriman dan taat.

Inilah perkara yang senantiasa dialami dan menghantui hati dan jiwa kita menyebabkan hilangnya ketenangan jiwa
Share:

Aku Ingin Pulang


ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.

Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.

Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Share:

Tuhan! Kami Rindukan Naungan Wahyumu


Menentukan pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh.

Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta. Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan. Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar.

Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan. Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.

Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah. Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia).

Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).

Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong. Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul. Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.

Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas. Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika. Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika. Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika.

Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika. Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata. Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan.

Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak. Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika. Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.

Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri. Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya. Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta. Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya.

Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.

Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik.

Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.

Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”. Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain. Sabda Nabi SAW: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.

Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT. Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan.

Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi. Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah.

Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. Tanggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat. Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan.

Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’. Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.

Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa. Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya. Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu
Share:

Social

Admin

Foto saya
Gemilang Malaysia Berpanjikan Islam

Cari Blog Ini

Blog Archive

Categories

Recent in Sports

Home Ads

Facebook

Ads

Random Posts

Recent

Arkib Blog

Recent Posts

Unordered List

Pages

Theme Support