Khamis, 13 November 2008

'Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah'

Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah ( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).

. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.

. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).

. Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.

. Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.

. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya.

. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.

Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.

. Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.

. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.

. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.

. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.

. Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.

. Amalan tariqah dilarang sama sekali.

. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.


Tarikh : 23 Disember 2006
Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
Editor : PRO JAKIM
Share:

Selasa, 11 November 2008

Anak Desa


Desa ini terhimpit arus kemodenan yang tidak dapat dielakkan lagi demi menjamin kestabilan hidup masyarakat setempat... Masa begitu pantas berlari meninggalkan seribu satu kenangan dan pelbagai kisah hidup masyarakat setempat, suka, duka,ngeri, riang, gembira terus diredah bersama walaupun ironinya kini tidak lagi serancak irama yang dicanangkan... tidak lagi selincah irama zapin diatas pentas.. iramanya merdu dilunak telingga tetapi tidak seindah gambaran tariannya... pincang dan tembang apabila direntakkan penari - penarinya...
Keindahan desa masih bersinar harapan... sepanas mentari pagi yang tidak memerikkan sepertimana panasnya ditengahari.... Embun pagi masih lagi sedingin kabus menerjah liang - liang waktu agar kedinginan ini tidak terus membekukan... Fantasi ataupun khayalan itulah harapan anak desa ini yang menginginkan semangat kedesaan ini terus berkekalan hingga kenafas terakhir... Kembalikan sinar wajah desa ini sebenar.. Pulangkan semula ketenangan yang telah direntap dari generasi hari ini... kembalikan dan pulangkan semangat itu.. agar anak - anak desa merasai nikmat hidup berdesa.... Penafian bukanlah jalan pilihan terbaik selain mengorak langkah membetul tautan tempang - tempang yang terlangkah....
Jika detik ini tiada daya usaha direncanakan.. pastinya akan hilangnya kegemilangan desa ini dikubur nesan tidak bertanda oleh waktu... Apakah kita akan hanya berpeluk tubuh melihat detik - detik terakhir dihujung nyawa desa ini... Mampukah kita memberi jawapan pada generasi hadapan jika dihakimi suatu hari nanti.... Terjawabkah oleh kita dengan persoalan yang akan dikemukankan oelh generasi hadapan.. bersediakah kita meratapi ianya sebagai tanda sejarah yang hilang tidak terbuku....
Hatta desiran ini.. anak desa merasakan... warna - warna pelangi petang tetap ada... namun ianya harus dicatur sebaik mungkin.... " Bila Biduk Berlalu Kiambang Pasti Bertaut Kembali" itulah pegangan anak desa selama ini... sejauhmana pun insan... ianya pasti kembali kepada titik asalnya... lantas tatkala ini generasi hari ini harus mencari dimana hilangnya titik pertemuan itu yang kian dihambat arus kemodenan dan ideologi.. Renungilah kembali, tatapilah semula... hakisan - hakisan yang terjadi.... pasti ada punca yang meretakkan simpulan kasih yang telah terjalin selama ini.... Usahlah dibiarkan keretakkan ini berterusan digoncang emosi.. seaakan tetpi.. biarlah kudrat yang masih bersisa digunakan untuk menilai semula... meniti relung kasih, berperang dengan waktu agar emas permata bernilai ditemui semula.... Biarlah kegemilangan semalam menjadi pengukur hari ini, biarlah ungkapan semalam sebagai tanda lipatan sejarah...
Lantaran itu, hapuskanlah.. anasir - anasir yang mengugat keharmonian desa... leraikanlah segala kekusutan yang membelenggu desa ini... lepaskanlah tali - tali yang terikat... melainkan.. dengan kesepakatan membina sinar baru untuk mastima... Saat itu pastinya senyuman akan terukir mesra dibatas bibir, Biarlah airmata gembira mengalir membasahi wajah asalkan segalanya yang tercipta didesa ini telah dikembalikan pada asal usulnya... pasti indah dan bahagia saat itu... Renung - renungkan dan fikir - fikiranlah... renungkanlah disebalik sindiran.....
Share:

Isnin, 10 November 2008

Keutuhan Perpaduan


Pendahuluan

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk mempastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya kehidupan bermasyarakat itu terlaksana. Mereka mahu atau tidak mahu terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, disebabkan kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya permusuhan, perkelahian dan peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu bangsa. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila syaitan mula menguasai fikiran seseorang.
Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang sedia ada, memutuskan kasih sayang, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu dan janda serta balu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Justeru, Islam mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara satu sama lain.

Definisi

Perkataan 'perpaduan' ini asalnya dari perkataan 'padu' iaitu 'mampat', 'pejal' dan 'padat'. 'Perpaduan ialah 'penggabungan'. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi 'perpaduan' ialah 'permusuhan', 'kehancuran' dan 'perpecahan'.
Jadi, perpaduan dilihat dari tuntutan Islam adalah satu perkara yang baik iaitu 'ma’rof' manakala perpecahan pula satu perkara yang keji atau tidak baik iaitu 'mungkar'. Dalam al-Qur’an Allah mengingatkan umat Islam dengan Firman-Nya yang bermaksud:

'Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.'
(Surah Ali Imran : 104)

Ajaran Islam

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan kita dapati Islam telah memberi panduan yang jelas mengenai cara-cara mencapai kesejahteraan itu. Antara punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya bagi mempastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu. Maka antara peringatan-peringatan tersebut ialah mengingatkan manusia seluruhnya menyedari akan asal-usul mereka dari bapa dan ibu yang satu. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan yang membiakkan dari kedua-duanya zuriat lelaki dan permpuan yang ramai.'
(Surah an-Nisa’ : 1)

Di samping itu ,Islam mengingatkan manusia bahawa mereka sebenarnya dari satu keturunan sahaja, maka sepatutnya masing-masing tidaklah merasai sombong dan angkuh terhadap yang lain sekalipun mereka berlainan warna kulit dan bahasa pertuturan. Menurut Islam, yang mulia di sisi Allah itu ialah yang lebih taqwanya. Allah berfirman yang bermaksud:

'... Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)...'
(Surah al-Hujurat : 13)

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu ni’mat Allah yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan. Dalam hubungan ini Allah berfirman yang bermaksud:

'Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.'
(Surah Ali ‘Imran : 103)

Halangan

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri manusia sendiri sama ada sesama manusia atau makhluk Allah yang lain iaitu syaitan.
Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan bernegara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Allah mengutuk manusia yang bersikap demikian.
Berlaku tidak jujur atau bersifat keras terhadap orang lain sering menimbulkan rasa tidak puashati dan dendam antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

'Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)...'
(Muttafak ‘alaihi)

Perbuatan suka mengintip dan menyebarkan keburukan orang lain juga merupakan punca yang menghalang perpaduan. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang suka dirinya diintip dan juga tidak rela apa jua keburukannya didedah dan dihebahkan yang boleh menjatuhkan maruah dan air mukanya. Islam memberi perhatian tentang perbuatan keji seumpama ini. Dalam hubungan ini, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan intip mengintip dan mengumpat keji sesama sendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain...'
(Surah al-Hujurat : 12)

Selain daripada perbuatan mengumpat dan mendedahkan keburukan orang lain menjadi faktor penghalang perpaduan, perbuatan suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan memberi gelaran-gelaran yang hina juga adalah faktor penghalang perpaduan yang utama dalam masyarakat umat Islam hari ini termasuklah di kalangan umat Islam di Malaysia. Nama-nama serta gelaran yang buruk ini lebih ketara dalam ucapan ahli-ahli politik ketika memburuk-burukkan lawannya di musim kempen pilihanraya, termasuklah ucapan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam tulen. Gelaran-gelaran sebagai 'thghut', 'fir’aun' dan sebagainya sering diberikan kepada individu atau pihak-pihak tertentu. Berkenaan hal ini, antara lain Allah berfirman yang bermaksud:

'...Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...'
(Surah al-Hujurat : 11)

Bahaya Perpecahan

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat dibenci oleh Islam. Nabi Muhammad s.a.w. telah diutuskan oleh Allah untuk menyatupadukan umat manusia supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan umat Islam dalam pelbagai keadaan serta menjadikan mereka lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada.

Selain dari mengakibatkan kegagalan, perpecahan juga akan menyebabkan hilangnya rahmat dan nikmat dari Allah. Mereka yang menyebabkan huru-hara dan permusuhan adalah termasuk golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah yang menjadi salah satu syarat bagi bertambahnya nikmat itu, manakala mengkufurkannya akan menempah bala’ dan seksa dari Allah.
Perpecahan juga boleh menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka. Ini akan menyebabkan umat Islam ditindas dan diancam keselamatan diri, harta-benda dan iman. Hal ini telah ternyata sekarang, dimana-mana saja di dunia ini keadaan umat Islam sangat lemah disebabkan permusuhan sesama sendiri. Di tanah Arab, Afrika, Asia, malah di negara kita Malaysia sendiri tidak terlepas dari bahaya permusuhan sesama sendiri. Akhirnya umat Islam kalah bukan kerana kekuatan pihak musuh, tetapi kalah kerana kelemahan diri sendiri.

Umat Islam Malaysia

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Bagi umat Islam Malaysia, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan agama Islam dan penganut-penganutnya. Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana umat Islam di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam keagamaan berbanding dengan apa yang telah dicapai oleh umat Islam di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Selain dari itu, salah satu dari tujuan perjuangan umat Islam ialah mempastikan kita sentiasa berada di hadapan sebagai pemimpin negara bagi maksud menegakkan keadilan dan kesejahteraan rakyat. Ini penting kerana dunia hari ini memerlukan suatu kepimpinan yang berwibawa dan adil. Demikianlah juga kita rakyat Malaysia. Kita sentiasa yakin bahawa mereka yang bertaqwa dapat mengurus dan memimpin dengan sebaik-baiknya.

Masalahnya ialah apakah kita umat Islam pada masa ini dan akan datang dapat mempastikan suasana aman dan harmoni ini dapat dikekalkan dan mampukah kita berada di hadapan sebagai pemimpin umat? Inilah permasalahan yang perlu kita teliti dan pastikan. Sebenarnya kita optimis sekiranya kita mampu mengatasi halangan-halangan yang boleh merosakkan perpaduan.
Penyebaran akidah yang salah di kalangan umat merupakan salah satu faktor yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita. Pada hari ini umumnya masyarakat umat Islam Malaysia berpegang kepada akidah Ahlul Sunnah. Oleh itu, kita mestilah mempastikan supaya pegangan ini dapat diteruskan dan dipertahankan. Keburukan yang berupa perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam akan mudah berlaku jika aspek akidah tidak diberi perhatian yang kemudiannya menyebabkan merebak ajaran atau fahaman yang lain dalam masyarakat. Kemunculan pengaruh aurad Muhammadiah dan lain-lain bentuk kepercayaan karut dalam masyarakat boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan umat Islam sendiri.

Selain dari aspek akidah yang benar yang mesti dipelihara dan dipertahankan, maka bentuk amalan dan ibadat juga mesti diberi perhatian. Aspek Khilafiah hendaklah dielakkan dari menjadi bahan perdebatan yang boleh membawa kepada keretakan hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Orang-orang yang pandai terutama para ulama mestilah mengelakkan diri dari terperangkap dalam perkara-perkara khilafiah tersebut. Tentulah bijaksana bagi sesiapa jua yang dapat menjaga dan memelihara kebajikan dan kepentingan awam dari kepentingan diri sendiri atau kumpulan masing-masing.
Aspek akhlak atau tingkahlaku umat Islam terutama para ulama mestilah juga mencerminkan akhlak Islam yang sebenarnya iaitu akhlak Rasulullah s.a.w. Maka di atas nilai akhlak yang penting dan perlu dipelihara ialah keterlanjuran lidah, terutama menjaganya dari umpat mengumpat, hina menghina dan sebagainya. Sesungguhnya banyak punca permusuhan dan perkelahian adalah disebabkan pengucapan yang tidak berlandaskan ajaran Islam yang mulia.

Kata-kata yang merendahkan orang lain dan menghinanya dengan bermacam-macam gelaran buruk dan tidak baik akan menambah liarnya seseorang itu dari yang lain. Kata-kata yang menghina, kasar dan kesat tidak mampu mengubah dan menambat hati seseorang. Allah memberi ibarat bahawa kata-kata yang baik itu umpama pokok yang baik yang menghasilkan buahnya yang baik sepanjang tahun. Pengucapan yang menghina ini sering kita dapati dalam majlis-majlis ceramah terutama dalam kempen-kempen pilihanraya. Perbuatan yang tidak baik ini mestilah dihentikan serta merta lebih-lebih lagi bagi mereka yang termasuk dalam golongan ulama.

Tata kelakuan dan gerakgeri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan ajaran Islam. Tingkahlaku yang kasar tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para ulama dan guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

Kita bersyukur kepada Allah, kerana pada masa ini umat Islam di Malaysia dapat berbangga dengan perkembangan Islam di bawah pimpinan Y.A.B. Dato’ Seri Dr.Mahathir bin Mohamad yang mampu meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara lain, malah lebih kehadapan dari negara-negara Islam seluruhnya.
Maka apakah kepimpinan Islam seumpama ini mampu dipertahankan pada tahun-tahun yang akan datang?

Sikap kita

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya.
Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.
Dan yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup Islam yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya.

Penutup

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menetukan kesinambungan kepimpinan Islam dalam negara ini. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kepimpinan Islam masih belum pasti. Ayuhlah bersama menjayakannya.

Share:

Khamis, 6 November 2008


BERSYUKUR satu sifat terpuji yang sentiasa diamalkan insan yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah supaya mendapat keredaa-Nya. Orang yang bersyukur mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sememangnya kehidupan kita tidak statik sepanjang masa. Setiap masa sentiasa ada perubahan sama ada menjadi lebih baik mahupun lebih buruk sebagai satu roda kehidupan yang mesti dihadapi.

Sudah menjadi lumrah ada yang dulunya miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya. Sebelumnya tidak dikenali, sekarang amat terkenal, disanjung dan dihormati.

Kekayaan dan kedudukan baik yang diperoleh itu harus dikongsi dengan orang lain sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya, manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain.

Satu sifat berbahaya yang selalu menjangkiti orang yang kedudukannya lebih baik berbanding orang lain ialah lupa diri. Sikap itu sering kali mendorong seseorang bertindak melakukan kejahatan kerana berasakan dirinya ‘berhak’ melakukan apa yang diingini.

Sikap lupa diri dan tidak bersyukur menjadi punca kedurhakaan iblis kepada Allah. Iblis berasakan dirinya lebih layak untuk dilantik menjadi khalifah berbanding Adam memandangkan dirinya dicipta daripada api dan sudah banyak melakukan kebaikan.

Iblis lupa hakikat dirinya yang sebenarnya hanyalah hamba. Dia tidak bersyukur dengan kedudukan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadanya. Maka jadilah iblis sebagai hamba yang ingkar dan tergolong sebagai dilaknati selama-lamanya.

Untuk mengelak diri menjadi kufur dan ingkar kepada Allah, berpeganglah kepada prinsip sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh dan dinikmati. Sikap itu akan memacu diri sentiasa tenang dan menerima segala ketentuan Allah tanpa sebarang perasaan syak wasangka kepada-Nya.

Namun, sikap bersyukur tidak pula bermakna kita berserah sepenuhnya kepada nasib tanpa melakukan apa-apa usaha. Hidup di dunia ini satu ladang untuk mencari bekal kehidupan di akhirat yang mana kita mesti melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa ditegah.

Sesungguhnya, setiap apa yang kita harapkan tidak semestinya tercapai. Banyak kegagalan dan keadaan buruk terpaksa pula dihadapi dengan sikap sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu bersyukur kerana masih ada peluang untuk terus berusaha mencapai apa yang dihajati.

Setiap Muslim mesti berusaha mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Nasib buruk tidak akan bertukar menjadi baik jika tidak berusaha mengubahnya.

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu, berharta dan berkuasa melebihi orang kebanyakan jika mereka sentiasa bersyukur. Namun, darjat itu kembali ke taraf paling rendah jika dirinya sombong tidak mahu menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Apa guna memiliki kekayaan jika tidak mahu digunakan. Sifat bakhil dan sombong menjadi penjara yang menghalangnya menikmati kekayaan dimiliki. Malah, hidupnya menjadi lebih tertekan kerana takut harta itu berkurangan atau digunakan oleh orang lain.

Begitu juga, orang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmu itu daripada disebarkan kepada orang lain sebenarnya hidup dalam kegelapan. Sifat ilmu, semakin digunakan semakin bertambah keberkatannya. Orang berilmu mendapat kebaikan jika ia turut dikongsikan dengan orang lain.

Individu yang dikurniakan kelebihan sama ada kekayaan, jawatan, kuasa dan kecantikan mestilah menghindarkan diri daripada sifat sombong yang mendatangkan banyak keburukan. Perasaan sombong menjadi penyakit hati yang mematikan iman sehingga hidup menjadi sesat tanpa cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)

Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terhindar sifat sombong dan lupa diri, memerlukan satu kekuatan yang memacukan sifat bersyukur di dalam diri. Orang yang bersyukur merasakan setiap kelebihan dimiliki olehnya hanyalah satu ujian daripada Allah.

Allah memberi peringatan supaya manusia bersyukur kerana dengan itu Dia akan melipatgandakan lagi nikmat yang diberikan. Sebaliknya, jika kufur akan nikmat yang dianugerahkan, kerugian besarlah bakal menimpa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)

Share:

Social

Admin

Foto saya
Gemilang Malaysia Berpanjikan Islam

Cari Blog Ini

Blog Archive

Categories

Recent in Sports

Home Ads

Facebook

Ads

Random Posts

Recent

Arkib Blog

Recent Posts

Unordered List

Pages

Theme Support