Sabtu, 27 September 2008

Ketenangan Jiwa


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur‘an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syara’ supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, musik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan”.(Surah Al-An‘am: 32)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”.(Surah Al-Ruum: 21)

Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”(Surah Al-Zariat: 56)

Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Qur‘an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.(Surah Luqman: 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.(Surah Al-A‘raf: 51)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :

”Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.(Surah Al-An‘am: 29)

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata.

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas dari itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanya hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.


Mencari ketenangan Jiwa


Apabila usia Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mencapai empat puluh tahun, baginda begitu gemar mengasingkan diri untuk beribadat dan berkhalwah di Gua Hira'. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam, dan kadang-kadang melewati satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam yang berulang alik di antara rumah baginda dan Gua Hira' sehinggalah datangnya wahyu yang pertama.


Sesungguhnya kegemaran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira' sebelum pengutusan baginda sebagai seorang Rasul, mengandungi makna yang sangat mendalam dan memberi kesan yang begitu penting kepada seluruh penghidupan umat Islam dan agama Islam khususnya.


Amalan ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keIslamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak yang tinggi serta beribadat tanpa putus-putus melainkan ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkannya sampai kepada hakikat keagungan ilahi.


Semuanya ini merupakan jalan bagi setiap Muslim yang mahu menempatkan dirinya sebagai seorang Muslim sejati terutamanya kepada mereka yang mahu menjadi pendakwah ke jalan Allah dan pembimbing ke jalan yang benar.


Sebagai hikmah Ilahi di sini tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan dan menghisab diri sendiri pada ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasad-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.


Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun dia melakukan amalan saleh dan ibadat yang banyak.


Inilah penyakit dan wabak yang mencengkam manusia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dari masa ke masa untuk mendapat taufiq hidayah dan inayah Allah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah dirinya untuk mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung bukti-bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan akhirnya menginsafi tentang kewujudan hari Akhirat, rahmat dan balasannya. Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-ulang kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang sebenar. Dengan itu tidak ada sesuatu apa pun lagi yang akan mempengaruhi kehidupan manusia itu.


Suatu perkara lagi yang perlu disebut yang tidak kurang pentingnya di dalam penghidupan manusia umumnya dan para pendakwah khususnya ialah menanamkan bibit-bibit cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di dalam hati sanubari di mana ia merupakan sumber dan dorongan kepada pengorbanan, perjuangan dan asas utama kepada dakwah yang memarak. Perasaan cintakan Allah Azzawajalla tidak tercetus melalui kepercayaan kepada yang rasional lantaran perkara yang rasional itu belum lagi dapat memberikan kesan kepada hati dan perasaan. Sebab jika sedemikian, sudah tentulah para orientalis merupakan barisan yang pertama beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan RasulNya. Jarang kedengaran seorang bijak pandai mengorbankan jiwanya kerana beriman dengan sesuatu teori-teori matematik yang dicipta manusia atau teori-teori algebra.


Jalan utama untuk melahirkan kecintaan kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala ialah dengan cara merenung dan bertafakkur akan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya. Kemudian memperbanyakkan bacaan-bacaan zikir dengan perantaraan hati dan lidah. Sesungguhnya kesemuanya ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila seseorang Muslim itu melaksanakan apa yang disebutkan tadi dengan sempurnanya. Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan, Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang memancar terhadap Allah; yang menjadikannya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak memperdulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang. Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam untuk baginda melaksanakan dakwahnya.


Bahawa sesungguhnya segala perasaan yang berhimpun di dalam hati manusia, iaitu takut, berani, cinta, suka, duka dan sebagainya berupaya menjadi sebagai pendorong bagi seseorang untuk menjalankan tugas yang mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya hanya disertai dorongan fikiran biasa manusia. Memang tepat seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Sathibi rahmatullah 'alaihi di dalam kitabnya Al-Mumabikhat yang menerangkan lebih lanjut dan membuat perbandingan di antara dua golongan; satunya Muslimin awam yang melakukan segala taklif suruhan Tuhannya kerana keIslamannya dan golongan Muslimin yang tertentu yang melaksanakan taklif suruhan Tuhannya kerana satu dorongan tambahan dan disertai dengan kefahaman.


Katanya; golongan yang pertama ini melaksanakan tugasnya kerana keIslaman dan keimanannya tanpa lebih daripada itu, tetapi golongan yang kedua, melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan satu dorongan tambahan, iaitu dengan disertai dorongan takut, harap dan cinta. Orang yang ketakutan, ketika melakukan sesuatu yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan dan seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan dan pancaroba. Manakala manusia yang mempunyai sifat raja' (berharap) tidak akan menghiraukan susah payah. Harapannya itu akan membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala keperitan. Seorang yang dilanda cinta pula, melipat gandakan segala usaha dan tenaganya dan mengorbankan segala apa yang ada demi untuk sampai kepada individu yang dicintainya


Rujukan: Fiqh as-Seerah Jilid 1,

Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti


Share:

Berpesan Akhlak Orang Beriman


NASIHAT menasihati dan berpesan ke arah kebaikan sudah menjadi budaya hidup manusia. Namun, dalam Islam, nasihat memang tidak dapat dipisahkan daripada ajarannya kerana Islam adalah al-Din yang bercirikan nasihat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)

Lebih menariknya, amalan nasihat termasuk antara amalan penyelamat seseorang daripada terjerumus ke lembah kerugian.

Firman Allah bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)

Maksud ayat suci itu menyimpulkan antara ciri orang yang beriman kepada Allah ialah sentiasa berpesan atau nasihat-menasihat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Tidak dapat dinafikan, manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai.

Justeru, hidup bermasyarakat menjamin kerukunan dan keharmonian sejagat. Untuk itu, nasihat menasihat sewajarnya dijulang supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama, sementara yang salah dan batil pula sama-sama dijauhi.

Demikianlah hidup bermasyarakat yang seiring jalan sejajar pepatah orang tua ‘duduk seorang bersempit-sempit, duduk ramai berlapang-lapang. Maka, terserlah Islam adalah agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.

Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang melenting atau marah apabila diberi nasihat dengan alasan dia insan bijak dan pandai dalam segala bidang. Sedangkan, manusia dengan kesempurnaan kejadiannya dan keistimewaannya, selamanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta kesalahan kerana itu sifat semula yang diciptakan Allah.

Justeru, setiap insan berhajatkan kepada nasihat untuk kembali kepada landasan yang benar dan insaf dengan kekerdilan serta kedaifan manusia itu sendiri di hadapan Allah SWT.

Merujuk kepada hadis berkisar mengenai Islam sebagai agama nasihat, Rasulullah SAW membahagikan nasihat kepada beberapa jenis yang sewajarnya diterapkan penghayatannya dalam rentak kehidupan seharian iaitu:

Nasihat kepada Allah yang melahirkan Muslim bertakwa kepada-Nya.

Setiap Muslim wajib beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman yang tidak terselit sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungannya dengan Allah.

Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya.

Lebih penting, pengisian iman dalam sudut jiwa akan menginsafkan setiap insan dari mana dia datang, untuk apa dia hidup di dunia ini dan ke mana pula dia akan kembali.

Iman juga akan menimbulkan kesedaran setiap insan yang bernyawa bahawa sesudah hidup di dunia ini ada lagi kehidupan kekal yang pasti dilalui.

Pendek kata, iman adalah harta tidak ternilai yang wajib diburu dan dijejaki setiap insan di dunia ini supaya berbahagia di dunia dan akhirat. Seterusnya, kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi kecintaan kepada dunia, isteri dan anak.

Nasihat kepada Kitab-Nya pula bermakna menjulang al-Quran sebagai rujukan utama dalam menyampaikan pedoman dan panduan hidup Muslim seharian. Ia mengandungi hukum-hakam, petunjuk serta peringatan kepada orang beriman kepada Allah.

Oleh itu, setiap Muslim dituntut mempraktikkan segala ajaran terkandung dalamnya, tidak cukup sekadar membacanya dan mengetahui hukum-hakamnya, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan.

Nasihat kepada Rasul-Nya pula bererti meyakini kebenaran perutusan Rasulullah SAW untuk membawa rahmat untuk alam semesta.

Setiap Muslim wajib menerima segala apa dibawa olehnya sebagai ketaatan mutlak kepada Allah dan berkewajipan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, membanteras segala bentuk bid’ah, khurafat serta ajaran sesat yang bertentangan dengan syarak.

Apabila ada kesepaduan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW, natijahnya seorang Muslim akan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman dalam hatinya.

Nasihat kepada pemimpin Muslim pula, kita sebagai rakyat hendaklah memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan apabila kerajaan melaksanakan rancangan dan program yang memberi kebaikan serta faedah untuk rakyat.

Sebaliknya, jika pemimpin melakukan sesuatu menyebabkan kehancuran dan kemusnahan kepada negara, maka rakyat berhak menegur serta memberi nasihat yang membina dalam usaha mengelak negara daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Ini penting bagi menjamin kerukunan, kesejahteraan serta keharmonian kalangan rakyat dengan kerajaan.

Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata: “Apabila aku melakukan sesuatu yang betul maka bantulah aku, dan apabila aku menyeleweng maka perbetulkan daku.”

Akhirnya, nasihat kepada umat Islam seluruhnya mencerminkan kesatuan hati dan keserasian jiwa orang Islam dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.

Nasihat ini termasuk dalam segala tindak tanduk dan kegiatan kemasyarakatan supaya ia selari dengan landasan Islam.

Ia merangkumi hubungan institusi kekeluargaan, sesama jiran, masyarakat dan juga dalam pelbagai lapangan hidup manusia.

Ringkasnya, nasihat memainkan peranan penting kerana ia bakal menyuburkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat sesama anggota masyarakat bagi mengekalkan kelangsungan masyarakat yang harmoni lagi sejahtera.

Demikianlah indahnya konsep nasihat menasihat dalam Islam yang mencorakkan identiti sebuah masyarakat Islam yang sejahtera lagi harmoni.

Natijahnya, kesatuan ummah dapat dijana di samping pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak

Islam terukir indah pada keperibadian Muslim. Dengan adunan istimewa ini, barulah umat Islam mampu memartabatkan kembali keunggulan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup sebagaimana pernah dirintis generasi Rasulullah SAW dan generasi sahabat.

Share:

Cinta Disebalik Cinta


Ramai yang tahu tentang cinta. Ramai yang tahu menyebut perkataan cinta. Ramai yang tahu bagaimana ingin meluahkan kata-kata cinta. Tetapi adakah anda tahu apa itu cinta yang sebenarnya? Di sini saya ingin berkongsi dengan anda tentang apa itu cinta.

Sifat Cinta
Cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan
Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu, membawa kepada cinta kepadakekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia
Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta itu. Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawapkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah
Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat, tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan
Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan, dari diri yang punya persamaan, dari diri yang asalnya satu. Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secocok dengan jiwanya, untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga menerima.

Cinta Itu Menakluki
Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk
dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi, dalam pada ingin menakluki, ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui
Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut
dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi, cinta cuma tahu bercinta. Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

Cinta Itu Hidup
Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik, lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta, berkata cinta, melihat
cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu, gembira, sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci
Sebagaimana yang banyak dikatakan orang, cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa Itulah sifat asal cinta, ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan. Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempesona
Cinta itu bukan saja indah, tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan
bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.

Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana, akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah itu Bukti Cinta?
Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?

Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

Share:

Perginya Ramadhan


Terdetik resah dihati mengenangkan kepergiamu ramadhan, hadirmu sesingkat cuma tanpa ku sedari kau kian hampir mengucap salam, apakah kedatangmu seterusnya bakal kita bertemu lagi ataupun hanya tinggal satu harapan sebelum ajal menjelang tiba.Disaat - saat terakhir ramadhan ku terasa kesyahduan itu bertamu menrjah hati, terpinggir aku menginsafi kafakiranku kepada Allah.
Ramadhan ini.. kenangan ku tercoret indah walaupun berpaut luka, Ramadhan ini perginya insan tersayang membawa haluan sendiri, Ramadhan ini hadirnya ujian yang mencabar untuk aku terus bertarung untuk hidup, Ramadhan menguji ketabahanku mengawal setiap detik langkah hidupku, Ramadhan ini, aku tewas menitinya sehalus mungkin, aku gagal mencari sinar keberkatan itu, aku gagal menemui jalan pulang, aku tewas pada segalanya.... Ya Allah kiranya ini ramadhan terakhirku .. ku redha ketentuanmu kerna memeberi aku sekali peluang dan ruang ini untuk ku bermunajat padamu... Ya Allah ampunilah aku hamba yang daif menemui kebenaran itu, Ya Rabbi aku redha ketentuan dugaan dan ujian mu kini yang kian megejar jarak usiaku... seandainya takdirmu sebegini .. maka takdirkanlah kepergianku ini diiringi kalimah laillahaillallah.. biarlah matiku didalam iman.. biarlah matiku didalam islam.. biarlah mati ku syahid Ya Allah.
Share:

Social

Admin

Foto saya
Gemilang Malaysia Berpanjikan Islam

Cari Blog Ini

Blog Archive

Categories

Recent in Sports

Home Ads

Facebook

Ads

Random Posts

Recent

Arkib Blog

Recent Posts

Unordered List

Pages

Theme Support