Sabtu, 27 September 2008

Ketenangan Jiwa


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur‘an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syara’ supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, musik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan”.(Surah Al-An‘am: 32)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”.(Surah Al-Ruum: 21)

Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”(Surah Al-Zariat: 56)

Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Qur‘an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.(Surah Luqman: 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.(Surah Al-A‘raf: 51)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :

”Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.(Surah Al-An‘am: 29)

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata.

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas dari itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanya hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.


Mencari ketenangan Jiwa


Apabila usia Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mencapai empat puluh tahun, baginda begitu gemar mengasingkan diri untuk beribadat dan berkhalwah di Gua Hira'. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam, dan kadang-kadang melewati satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam yang berulang alik di antara rumah baginda dan Gua Hira' sehinggalah datangnya wahyu yang pertama.


Sesungguhnya kegemaran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira' sebelum pengutusan baginda sebagai seorang Rasul, mengandungi makna yang sangat mendalam dan memberi kesan yang begitu penting kepada seluruh penghidupan umat Islam dan agama Islam khususnya.


Amalan ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keIslamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak yang tinggi serta beribadat tanpa putus-putus melainkan ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkannya sampai kepada hakikat keagungan ilahi.


Semuanya ini merupakan jalan bagi setiap Muslim yang mahu menempatkan dirinya sebagai seorang Muslim sejati terutamanya kepada mereka yang mahu menjadi pendakwah ke jalan Allah dan pembimbing ke jalan yang benar.


Sebagai hikmah Ilahi di sini tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan dan menghisab diri sendiri pada ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasad-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.


Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun dia melakukan amalan saleh dan ibadat yang banyak.


Inilah penyakit dan wabak yang mencengkam manusia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dari masa ke masa untuk mendapat taufiq hidayah dan inayah Allah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah dirinya untuk mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung bukti-bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan akhirnya menginsafi tentang kewujudan hari Akhirat, rahmat dan balasannya. Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-ulang kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang sebenar. Dengan itu tidak ada sesuatu apa pun lagi yang akan mempengaruhi kehidupan manusia itu.


Suatu perkara lagi yang perlu disebut yang tidak kurang pentingnya di dalam penghidupan manusia umumnya dan para pendakwah khususnya ialah menanamkan bibit-bibit cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di dalam hati sanubari di mana ia merupakan sumber dan dorongan kepada pengorbanan, perjuangan dan asas utama kepada dakwah yang memarak. Perasaan cintakan Allah Azzawajalla tidak tercetus melalui kepercayaan kepada yang rasional lantaran perkara yang rasional itu belum lagi dapat memberikan kesan kepada hati dan perasaan. Sebab jika sedemikian, sudah tentulah para orientalis merupakan barisan yang pertama beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan RasulNya. Jarang kedengaran seorang bijak pandai mengorbankan jiwanya kerana beriman dengan sesuatu teori-teori matematik yang dicipta manusia atau teori-teori algebra.


Jalan utama untuk melahirkan kecintaan kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala ialah dengan cara merenung dan bertafakkur akan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya. Kemudian memperbanyakkan bacaan-bacaan zikir dengan perantaraan hati dan lidah. Sesungguhnya kesemuanya ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila seseorang Muslim itu melaksanakan apa yang disebutkan tadi dengan sempurnanya. Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan, Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang memancar terhadap Allah; yang menjadikannya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak memperdulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang. Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam untuk baginda melaksanakan dakwahnya.


Bahawa sesungguhnya segala perasaan yang berhimpun di dalam hati manusia, iaitu takut, berani, cinta, suka, duka dan sebagainya berupaya menjadi sebagai pendorong bagi seseorang untuk menjalankan tugas yang mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya hanya disertai dorongan fikiran biasa manusia. Memang tepat seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Sathibi rahmatullah 'alaihi di dalam kitabnya Al-Mumabikhat yang menerangkan lebih lanjut dan membuat perbandingan di antara dua golongan; satunya Muslimin awam yang melakukan segala taklif suruhan Tuhannya kerana keIslamannya dan golongan Muslimin yang tertentu yang melaksanakan taklif suruhan Tuhannya kerana satu dorongan tambahan dan disertai dengan kefahaman.


Katanya; golongan yang pertama ini melaksanakan tugasnya kerana keIslaman dan keimanannya tanpa lebih daripada itu, tetapi golongan yang kedua, melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan satu dorongan tambahan, iaitu dengan disertai dorongan takut, harap dan cinta. Orang yang ketakutan, ketika melakukan sesuatu yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan dan seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan dan pancaroba. Manakala manusia yang mempunyai sifat raja' (berharap) tidak akan menghiraukan susah payah. Harapannya itu akan membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala keperitan. Seorang yang dilanda cinta pula, melipat gandakan segala usaha dan tenaganya dan mengorbankan segala apa yang ada demi untuk sampai kepada individu yang dicintainya


Rujukan: Fiqh as-Seerah Jilid 1,

Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti


Share:

0 ulasan:

Social

Admin

Foto saya
Gemilang Malaysia Berpanjikan Islam

Cari Blog Ini

Blog Archive

Categories

Recent in Sports

Home Ads

Facebook

Ads

Random Posts

Recent

Arkib Blog

Recent Posts

Unordered List

Pages

Theme Support